syariat itu seumpama kapal, thariqah itu seumpama lautan, dan hakikat itu seumpama mutiara. maka sesiapa yang ingin memperolehi mutiara tersebut hendaklah dia menaiki kapal itu serta mengharungi gelora ombak tersebut agar dia sampai ke destinasi tujuan perjalanannya iaitu ALLAH SWT, maka sesiapa yang meninggalkan tertib perjalanan tersebut serta marhalah-marhalah perjalanannya, maka dia tidak akan sampai kepada ALLAH SWT buat selama-lamanya. - Al -'Arifbillah Al-Imam Ibnu 'Ajibah Qaddasallahu Sirrahu.

Friday, December 14, 2012

mengapakah disyariatkan bagi kami para jin dan kamu wahai manusia untuk "berkhalwah" ??


Gua Hira'
assalamu'alaikum wrh wbr..apa khabar semua?! :) hampir 6 minggu blog ini tidak di update sejak tibanya  al-faqir di bumi mesir selepas hampir 3 bulan bercuti di malaysia tercinta.

maka pada hari ini dengan izin dan kurniaan ALLAH SWT al-faqir cuba menyambung penulisan ini sbg suatu perkongsian buat semua :) moga bermanfaat yer :)

baiklah, tanpa membuang masa mari sama-sama kita menyambung perbahasan persoalan seterusnya jin islam kepada Al-'Arifbillah Al-Imam Sya'rani Qaddasallahu Sirrahu yang termaktub di dalam kitab karangan beliau "kasyful-hijab war-ron" yang berbunyi :


"mengapakah disyariatkan bagi kami para jin dan kamu wahai manusia untuk "berkhalwah" (untuk menumpukan berzikir dan beribadah kpd ALLAH SWT di sesuatu tempat yg khusus dan di dalam tempoh masa yg tertentu), sedangkan kita telah maklum bahawa ALLAH SWT itu sentiasa bersama kita pada setiap tempat (tetapi ALLAH SWT itu bukan bertempat) ianya diyakini dengan nur iman dan rahsia keyakinan, mengapakah disyariatkan "berkhalwah" itu wahai imam??".

maka Al-'Arifbillah Al-Imam Sya'rani Qaddasallahu Sirrahu menjawab :

Sesungguhnya para akaabir (mereka-mereka yg hatinya sudah syuhud dikalangan muqarrabin) tidaklah lagi disyariatkan (tidaklah ditekankan lagi) bagi mereka untuk “berkhalwah” (berzikir, muraqabah dan beribadah dengan banyak di suatu tempat yang khusus dan di dalam tempoh masa yang tertentu supaya dapat melahirkan hati yang sentiasa hidup dan syuhud kepada ALLAH SWT), bahkan para akaabir itu tiada lagi hijab bagi mereka di pintu-pintu mereka.

Adapun khalwah itu disyariatkan (ditekankan) kepada Ahlil-Hijab (mereka-mereka yang masih terhijab hatinya) yang mana hati mereka masih lagi belum lagi dapat menyaksikan (syuhud) kebersertaan ALLAH SWT (ma’iyyatullah) bersama makhluk. Ahlil-Hijab ini lari menjauhkan diri mereka daripada makhluk kerana mereka takut makhluk itu akan menyibukkan hati mereka daripada ALLAH SWT.

Bahkan sekiranya mereka dapat menyaksikan sirr (rahsia) yang wujud disebalik kejadian makhluk, maka pada ketika itu pasti mereka tidak akan lari menjauh daripada makhluk. Kerana sesungguhnya alam dan segala makhluk itu sentiasa bersama mereka walaupun mereka sedang berkhulwah seperti  tempat  berlindung, hamparan tikar, makanan dan minuman dan lain-lain.




PENJELASAN : Di dalam madrasah tarbiyyah ruhiyyah sufiyyah, seseorang saalik yang masih baru di peringkat permulaan, yang mana hatinya masih lagi ghuflah (lalai) daripada mengingati ALLAH SWT serta masih lagi tidak merasai muraqabah dan syuhud kepada ALLAH SWT  akan ditekankan oleh para mursyidnya agar dia ditarbiyyah sebentar  untuk “berkhalwah” atau di tanah melayu kita sebut sebagai “bersuluk”. Si saalik itu akan dijauhkan dirinya drpd banyak bergaul dgn makhluk dan didekatkan dirinya utk berzikir dgn sebanyak-banyaknya dan beribadah kpd ALLAH SWT di dalam tempoh khalwahnya.

Khalwah kebiasaannya akan memakan masa beberapa hari, tetapi sebaiknya selama 40 hari sebagaimana yang dilakukan oleh para sufiyyuun terdahulu. Al-faqir sempat bertanyakan soalan kepada syeikh yang amat daku kasihi lagi daku cintai iaitu Syeikh Rohimuddin An-Nawawi Al-bantani Hafizahullah ; “mengapakah kebanyakan para ulama’ terdahulu berkhalwah selama 40 hari?? Lalu syeikhku menjawab ; “ bahawa 40 hari adalah suatu anggaran tempoh yang matang, yang mana pada kebiasaannya tempoh 40 hari ini akan dapat menghidup dan memberikan suatu kesan yang kuat ke dalam hati seseorang murid itu”.

 Thariqhah sufiyyah pada zaman ini ada yang melakukan majlis khalwah / suluk selama 10 hari, 20 hari, 30 hari atau 40 hari. Ini bergantung kpd pimpinan mursyid sesebuah thariqhah itu bagaimana cara yang difikirkan sesuai utk anak-anak muridnya dgn mengikuti manhaj serta adab-adab yang diwarisi drpd mursyid-mursyid yg sebelumnya. Tempoh khalwah juga bergantung kepada kerohanian diri masing-masing. Ada sebahagian murid hanya dikhalwahkan oleh mursyidnya dalam tempoh yang pendek sahaja, dan ada pula yang dikhalwahkan dalam tempoh yang panjang.

Seseorang musyid akan melihat ahwal muridnya, seandainya murid itu sudah menampakkan tanda hatinya mulai hidup dengan sentiasa mengingati ALLAH SWT, muraqabah dan syuhud, maka pada ketika itu para mursyid tidak lagi akan menekankan dan memberatkan kepada si muridnya itu dengan banyak “berkhalwah”, tetapi lebih kepada “khalwah di dalam jalwah” iaitu “walaupun jasad si murid itu bersama dan berurusan dengan makhluk, namun hatinya sentiasa hidup bersama ALLAH SWT, inilah maqam muraqabah dan syuhud yg sudah terhasil drpd khalwah tadi.


Al-‘Arifbillah Asy-Syeikh
Muhammad Al-Hasyimi Rahimahullah
Realitinya ialah ; apabila seseorang murid yg sodiq yg telah hidup hatinya seperti ini, bilamana dia memegang dunia ditangannya, tetapi  hatinya telah digenggam oleh ALLAH SWT, lalu keseluruhan dunia tadi semuanya ditujukan kpd ALLAH SWT termasuk dirinya sendiri .

Mengenai tempoh khalwah, al-faqir teringat sebuah kisah yg diceritakan oleh Al-Mursyid Asy-Syeikh Yusuf Bakhour al-Hasani Asy-Syadzuli ad-Darqawi Hafizahullah tentang mursyidnya iaitu Al-‘Arifbillah Asy-Syeikh Abdul Qadir Isa Rahimahullah :


Bahawa suatu hari Al-‘Arifbillah Asy-Syeikh Abdul Qadir Isa Rahimahullah telah disuruh oleh mursyidnya iaitu Al-‘Arifbillah Asy-Syeikh Muhammad Al-Hasyimi Rahimahullah utk berkhalwah di dalam sebuah bilik khusus.
Al-‘Arifbillah Asy-Syeikh
Abdul Qadir Isa Rahimahullah
Namun baru beberapa ketika sahaja berlalu al-‘Arifbillah Asy-Syeikh Muhammad Al-Hasyimi Rahimahullah menyuruh Al-‘Arifbillah Asy-Syeikh Abdul Qadir Isa Rahimahullah utk keluar drpd bilik khalwahnya itu. Ini krn mursyidnya itu melihat bahawa hati anak muridnya itu sudah sememangnya hudhur bersama ALLAH SWT  sama ada di dalam bilik khalwah itu mahupun di luar drpd bilik khalwah.

Sebagaimana RASULULLAH SAW telah pun menjauhkan diri baginda SAW drpd manusia kebanyakan dengan bersendirian “bertahannut” di gua hira’ sebelum penerimaan wahyu daripada ALLAH SWT, maka begitulah para sufi melihat bahawa hati itu perlu dikhalwahkan daripada segala aghyar/akwan (makhluk) agar hati itu dapat menerima futuhaat dan nafahaat drpd ALLAH SWT
.

Sebahagian para 'arifin pernah berkata dgn mafhum : "aku menjaga ALLAH SWT selama 40 hari lalu ALLAH SWT  menjagaku di sepanjang hidupku". maksudnya di sini ialah mereka bermujahadah cuba memberikan fokus selama berkhalwah, selepas itu ALLAH SWT terus kukuh berada di dalam hati mereka di sepanjang kehidupan mereka.

Al-'Arifbillah Asy-Syeikh
Yusuf Bakhour Al-Hasani
Hafizahullah 

Khalwah adalah suatu amalan yg amat disukai oleh para sufiyyuun sama ada murid yg masih di peringkat permulaan (mubtadi’), peringkat pertengahan (mutawassit) mahupun para akaabir di maqam yg tinggi (muntahi). Kerana itulah adakalanya kita melihat sebahagian para mursyid atau imam yg hebat juga akan banyak menghabiskan masa mereka bersendirian berkhalwah beribadah kpd ALLAH SWT serta menjauhkan diri mereka dengan makhluk kerana mereka berasa amat gembira, tenang dan uns (berjinak-jinak) mesra bersama ALLAH SWT.



KESIMPULANNYA : 
Khalwah itu adalah suatu tarbiyyah ruhiyyah bagi para muriidiin dan saalikiin yg berada di peringkat permulaan suluknya kpd ALLAH SWT dgn tujuan utk menghidupkan hati mereka agar syuhud kpd ALLAH SWT, manakala bagi para akaabir pula khalwah itu adalah suatu wasilah mendekatkan lagi diri mereka kepada ALLAH SWT. wallahu a’lam.

Al-'Arifbillah Asy-Syeikh Rohimuddin
An-Nawawi Al-Bantani Hafizahullah

insyaALLAH akan menyusul pada post akan datang, persoalan seterusnya para jin kepada Al-Imam Sya'rani yang berbunyi :

"  apakah cara yang paling "pintas" dan paling "pantas" untuk sampai di hadhrah ALLAH SWT?? ".

nantikan kemunculannya pada post akan datang biiznillah !!



kitab kasyful-hijab war-ron
begitulah sedikit sebanyak perkongsian daripada al-faqir yang jahil ini bersama entum kali ini, mudah-mudahan ianya bermanfaat buat kita semua. salah silap mohon nasihatnya.

terima kasih kerana sudi membaca :)
dijemput share kepada yang lain ye !! :)

raja mahadi raja ahmad an-naqsyabandi al-khalidi